FB Follow

Monday, 31 March 2014

TUJUH KUNCI KEBAHAGIAAN DALAM HIDUP

KEBAHAGIAAN adalah perkara yang subjektif. Setiap individu mempunyai takrifan yang tersendiri dalam menentukan tahap kebahagiaan yang ingin dikecapi sama ada dalam bentuk material atau spiritual. 

Walau apa jua persepsi manusia terhadap kebahagiaan namun ia tetap bertitik tolak kepada soal hati.

Ulama Islam yang muktabar iaitu Hujjatul Islam Imam Al Ghazali telah mengupas dengan tuntas persoalan hati dalam beberapa tulisannya termasuklah karya beliau yang masih malar segar hingga ke hari ini iaitu Ihya Ulumuddin.

Namun bagi mereka yang ingin mencari bahan bacaan tentang petua meraih kebahagiaan hati dengan gaya bahasanya mudah difahami dan ringkas, buku karya Prof Dr. Muhaya ini sesuai dijadikan tatapan semua peringkat masyarakat.

 Karya Islamik hasil tulisan seorang doktor pakar mata ini mengupas menurut perspektif kontemporari tentang isu kebahagiaan yang merupakan perkara penting dalam kehidupan ini.

Dr Muhaya sememangnya seorang tokoh yang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana beliau sering diundang di radio mahupun televisyen bagi berkongsi idea dan pengalaman beliau untuk mengupas tentang pengurusan hati yang sebelum ini agak jarang dibicarakan.

Kunci kebahagiaan menurut Dr Muhaya berkait rapat dengan aspek dalaman seseorang itu yang selalunya disebut sebagai hati atau jiwa. 

Tetapi dalam realiti hidup sebenar ramai orang lebih suka menekankan aspek luaran seperti pemilikan aset (kereta, rumah dan gajet) serta kecantikan diri.

Apabila tumpuan yang lebih hanya diberikan terhadap aspek fizikal supaya sedap dipandang oleh manusia maka timbullah konflik jiwa yang tidak tenteram serta tercari-cari hakikat sebenar kehidupan. 

Untuk meraih kebahagiaan dalam hidup, seseorang itu perlu kembali kepada asas yang penting iaitu mengenal asal-usul diri yang hanyalah seorang makhluk ciptaan Allah SWT.

Ramai individu yang terjebak dalam pelbagai gejala yang tidak sihat seperti penagihan dadah dan seks bebas adalah kesan daripada kegagalan mengenal diri sendiri. 

Alasan untuk mencari ketenangan jiwa sering digunakan untuk terlibat dalam perkara-perkara yang tidak baik. 

Sedangkan orang yang mengenal hakikat dirinya akan sentiasa meletakkan keredaan Allah SWT sebagai matlamat utama.

Individu yang berusaha merebut keredaan Allah adalah golongan manusia yang positif. Mereka tidak akan mudah dipengaruhi oleh keladak-keladak jiwa seperti berdendam, sukar memaafkan orang lain dan menyalahkan diri sendiri.

Sebagai individu yang berfikiran positif Dr. Muhaya telah mengkhususkan satu bab bagi membincangkan tentang racun jiwa iaitu takut dan bimbang. 

Orang yang selalu diselubungi perasaan gusar yang tidak menentu seperti takut gagal dan tidak berani mencuba sesuatu bukan sahaja tergolong sebagai individu yang tidak sihat dari segi emosi bahkan fizikal. 

Hal ini kerana 75 peratus penyakit yang menimpa manusia adalah berpunca daripada minda yang semestinya berkait rapat dengan emosi.

Bukan mudah untuk membentuk jiwa yang berfikiran positif serta memiliki jiwa yang tenang. Orang lain tidak akan dapat mempositifkan pemikiran kita andainya kita sendiri enggan berubah. 

Semoga buah tangan hasil karya Dr Muhaya ini mampu mencetuskan titik perubahan dalam kehidupan kita supaya tidak terus terjerat dengan keladak-keladak jiwa yang cukup berbahaya itu.



SARAPAN PAGI~MAKANAN ROHANI

"Sesungguhnya manusia dijadikan bersifat keluh kesah, apabila ia ditimpa keburukan, ia keluh kesah dan apabila ia mendapat kebaikan (harta), ia enggan (bersedekah) kecuali orang yang bersolat." - Surah Al-Ma'rij: 17-22

Sarapan pagi untuk rohani kita...


Mari kita renungkan kata2 nasihat dari Ibnu Qayyim...

~Di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terurai kecuali menerima kehendak Allah swt.

~Di dalam hati manusia ada keganasan dan tidak akan hilang kecuali berjinak dengan dengan Allah swt

~Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali seronok mengenali Allah swt

~Di dalam hati manusia ada kegelisahan dan tidak akan tenang damai kecuali berlindung, bertemu dan 

berjumpa denganNya

~Di dalam hati manusia ada penyesalan dan tidak akan padam kecuali redha dengan suruhan dan 

laranganNya serta qadha dan qadarNya serta senantiasa sabar sehingga menemuiNya

~Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan terbendung kecuali kecintaan kepadaNya dan 

bermohon kepadaNya.



Bukan baca sekadar lalu sahaja.. tapi hayati setiap baris kata2.macam kunyah makanan.. kunyah sampai lumat hancur baru telan..takdelah nanti sakit perut... 

Moga bermanfaat..